Bangga sekejap. Aku langsung tak sangka aku yang jadi pemenang untuk dress terbaik malam ni. Tak sia-sia usaha aku. Bukan senang nak cari baju ni. Habis semua kedai baju dekat Mansurah aku masuk. Haha..Bangga kot.
Tika aku sedang sibuk melayan ucapan tahniah dari rakan-rakan, tiba-tiba ada message masuk ke handphone.
Belum sempat aku buka, masuk pula satu lagi message.
Mamat: cantiknye u malam ni. Jom, I belanja minum.
Aku senyum. Mamat nak belanja minum. Dah lama tak keluar berdua.
Dari jauh aku nampak mamat melambai-lambai ke arahku. Bila aku sampai dia terus peluk dan cium dipipi. Aku kaget, tapi aku biarkan.
Jom. Mamat pegang tangan aku. Dia senyum memandangku. Matanya mengecil. Senyumnya meleret. Aku pun senyum saja. Kami berdua jalan menyusur di tepi jalan. Jam pukul 12 malam.Tak lama kemudian, dia letak pula tangannya di pinggangku. Aku biarkan lagi. Tiba-tiba aku teringat tadi ada message masuk. Aku tak sempat baca. Aku pun buka.
“Tegur aku jika aku mulai sombong,
Tegur aku jika aku mulai angkuh,
Tegur aku jika aku mulai salah,
Tegur aku jika aku berdosa,
Kerana aku masih ingin menjadi temanmu,
Dan izinkan ku jua untuk menegur dirimu.
Kerana aku juga mahu kau menjadi temanku.
Sama-sama dalam rahmat dan lindungan Allah.
Sama-sama terhindar dari azab Allah.
Kerana aku mengasihimu..”
Aku tercengang. Lama aku tatap massage itu.
Ya Allah, maafkan diriku. Memang aku sedar selama ini aku salah. Bukan aku tak tahu dosa pahala. Tapi aku lupa. Sebab aku hanyut dalam rasa gembira. Aku lupa pada siksa Allah. Terima kasih sahabat kerana ingatkan aku.
********
"Dan tegurlah mereka dengan cara yang lebih baik. Iaitu dengan kekuasaan. Bila tak mampu tegurlah dengan lisan. Jika tidak mampu juga tegurlah dengan hati. Tapi itulah selemah-lemah iman."
Tapi tegarkah kita membiarkan sahabat kita hanyut? Hanya berharap dalam hati. Alasannya mudah, takut putus kawan. Takut kena gelak. Takut kena pulau. Takut kena pukul. Betullah dunia dah terbalik. Orang berani buat maksiat. Orang yang melarang maksiat pula yang takut.
Jika itu alasannya, lebih baik tak payah berkawan. Sebab kalau ada kawan, tapi tak bertanggungjawab atas kawan, kita juga yang susah. Apa kita nak jawab dihadapan Allah?
Nasihat sangat penting dalam hidup. Sampaikan Allah juga menggariskan, memberi nasihat itu adalah salah satu karakter dari orang yang tidak rugi dalam hidup.
''Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali yang beriman dan juga beramal soleh. Yang berpesan pada kebenaran. Juga berpesan pada kesabaran." (al-asr)
Seorang sahabat adalah cermin bagi sahabatnya. Sahabatlah yang bertindak sebagai agen pembaik pulih bagi sahabatnya. Baiki dirinya dan menampung kekurangannya dengan nasihat yang baik.
Sebab itu, nasihat atau teguran bukanlah satu hukuman. Nasihat sepatutnya mendatangkan kebaikan, bukan membongkar aib atau menjatuhkan kehormatan.
Maka, belajarlah untuk memberi nasihat. Beri nasihat dengan baik, santun dan penuh kasih sayang.
Tapi lain orang, lain caranya. Jika kita mempunyai sahabat, maka kitalah orang yang lebih tahu, cara apa yang sahabat kita redha. Buatlah apa cara yang kita fikirkan terbaik. Asal tidak meninggalkan tanggungjawab.
Salah satu adab memberi nasihat, lakukan di luar pengetahuan orang lain. Ini untuk menutup kekurangan dan menjaga kehormatannya. Nasihat yang tulus, tidak mungkin dilakukan dengan cara yang buruk.
Fudhail bin Iyadh berkata, ''Orang beriman adalah orang yang menutup aib saudaranya yang menasihati, sedangkan orang fasik adalah orang yang merosak dan mencela.''
Tapi sungguh, memberi nasihat bukanlah mudah. Sabarlah dan siap sedia menerima risiko. Boleh jadi orang yang dinasihatkan menerima dengan redha. Boleh jadi dia menolak dan melawan. Tapi ingatlah, murka Allah itu lebih dasyat dari marah seorang sahabat.
Maka, ikhlaskan hati mu. Beranikan jiwamu. Carilah redha Allah atas kasih persahabatan. Indahnya punya sahabat yang saling mendukung, saling mengingatkan, saling berlumba membuat kebaikan.
Kauthar Hassan.
Hendawi, Mansurah.
No comments:
Post a Comment