Lembu: Bangun tidur-makan-minum-buang air- membajak di sawah- balik kandang- tidur semula-mati.
Manusia: Bangun tidur-makan-minum-buang air- kerja-balik rumah-tidur semula-mati.
Maaf jika tajuk ini agak kasar. Tapi ini hakikat, jika manusia dan lembu itu sama perjalanan hidupnya, maka manusia dan lembu itu serupa. Boleh jadi, lembu itu lebih mulia kerana patuh pada tuannya. Tapi manusia, sudahlah hidup tanpa matlamat, malah engkar pula pada pencipta.
Jadi apa perkara yang membezakannya? Yang utama, manusia dihisab oleh Allah. Tapi lembu tidak. Jika itu perbezaannya, maka kita juga harus berbeza dari cara kita menjalani kehidupan. Kita perlu menuju Allah dan mengajak orang lain menuju Allah.
Tapi saya lebih ingin membicarakan soal mengajak orang untuk berdakwah.
Sering kali timbul persoalan dalam berdakwah, mengenai titik seseorang untuk bermula. Kerana mereka merasakan, mereka sibuk dan tiada masa. Sibuk bekerja. Sibuk belajar. Mereka melihat dakwah itu bukan yang utama. Tersepit diantara rasa sibuk dan rasa kurang ilmu. Lalu lahir persoalan antara menuntut ilmu,bekerja dan berdakwah. Mana yang lebih utama? (ilmu disini boleh diertikan kepada 2; samada ilmu dunia mahupun ilmu agama)
Golongan pelajar, majoritinya berkata, peranan mereka ketika ini adalah menuntut ilmu.Mereka mungkin akan berhujah dengan hadith-hadith yang tertentu mengenai kelebihan menuntut ilmu dan sebagainya. Adakah para sahabat tidak pernah mendengar hadith-hadith itu? Para sahabat lebih hebat mencari ilmu berbanding kita. Tapi dakwah tidak mereka cicirkan.
Bagi golongan bukan pelajar, majoritinya berkata “Saya sendiri belum cukup ilmu, mana mungkin saya mampu berdakwah.
Orang yang menuntut ilmu itu murid. Manakala yang berdakwah pula guru. Mana mungkin seseorang itu menjadi murid hingga kiamat. Begitu juga seorang guru. Pasti suatu hari kedua-duanya membawa beban yang sama dalam masa yang sama. Tidak mungkin kita menunggu ilmu menjadi begitu banyak dalam diri , sudah habis menuntut ilmu barulah mahu menjadi guru. Padahal ilmu itu sangatlah luas dan proses mencari itu takkan pernah berhenti.
Mungkin juga, ada yang berkata, “Buat masa ini saya perlu belajar, nanti apabila selesai belajar barulah saya berdakwah, saya mempunyai tanggung jawab kepada penaja” Alasan ini mungkin akan diteruskan semasa bekerja. “Buat masa ini saya perlu bekerja, bila saya lapang nanti barulah saya berdakwah, saya mempunyai tanggung jawab kepada majikan dan keluarga” Dan seterusnya, apabila pencen. Mungkin dia boleh berkata, pencen lebih penting daripada dakwah! Bagaimana apabila kita mati? Apakah yang paling penting ketika itu?
Jadi, kita perlu bijak untuk menilai. Gagal mencari jawapan, kita berdiri di jalan yang salah. Satu golongan, sibuk belajar. Mereka banyak ilmu, mereka faham tapi mereka tidak mengamalkannya. Lantas tersekatlah proses dakwah. Satu golongan lagi, mereka terjun dalam bidang dakwah hanya berbekal semangat. Semangat tanpa ilmu takkan kemana.
Islam tidak menuntut kesempurnaan dalam berilmu barulah beramal. Di zaman Rasulullah s.a.w, para sahabat telah mula beramal dan terjun ke medan dakwah sedangkan wahyu masih terus turun. Selama wahyu masih turun, selama itulah ilmu Islam belum lengkap dan sempurna dan terus berkembang. Ada diantara para sahabat yang baru saja masuk Islam tetapi telah dituntut untuk melaksanakan amal tertentu dan dibebankan dengan tugas tertentu. Lihat saja Khalid bin Al-Walid yang memimpin tentera Rasulullah s.a.w sedangkan ia baru saja masuk Islam.
Ilmu dan pemahaman bukan hanya diperoleh dalam bentuk pengajian tetapi juga dalam bentuk amali yang memberi pengalaman. Cubalah untuk berdakwah. Benar ilmu dan faham itu penting sebelum beramal dan berdakwah, tetapi amal dan medan dakwah itu sendiri adalah landasan yang baik bagi membina ilmu dan kefahaman.
Ilmu tidak semuanya saling berkait. Tidak sepatutnya seseorang tidak perlu solat selagi mana dia belum faham persoalan zakat. Begitulah juga dengan kerja dakwah. Tidak saharusnya seseorang itu terhalang untuk menyumbang kerana hanya ia tidak lancar mambaca alquran
Sungguh, Manusia itu lemah. Manusia sering tersilap. Banyak ilmu, luas kefahaman masih tidak menjamin dari bebas kesilapan. Begitu juga ceteknya ilmu, singkatnya pengalaman tidak semestinya selalu salah dalam tindakan.
Walaubagaimanapun, kita harus cuba memahami tentang ilmu yang ingin disampaikan. Kerana kita tidak mungkin dapat memberi jika kita tidak memiliki apa-apa untuk diberi.
Menurut Dr. Muhammad Said Ramadan Al-butty dalam kitab Rahsia Dakwah Yang Berkesan,ciri-ciri yang perlu ada pada da'ie ialah:
1)Menunjukkan contoh yang baik.
2)Mengutamakan dakwah kepada orang-orang islam lebih terlebih dahulu. Ini kerana jika orang islam betul-betul mendalami islam,maka orang bukan islam akan tertarik dengan keindahan islam sendirinya.
3)Mengetahui hukum dan adab-adab islam yang berkaitan dengan ilmu-ilmu dakwah.
Disini saya simpulkan, ilmu dan dakwah itu bergerak seiring. Tapi jika tidak mampu, tunjukkan contoh yang baik dan berniat untuk mengajak orang lain kepada kebaikan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam orang yang tidak sia-sia hidup di bumiNya.
Ilmu tanpa agama adalah buta.
Agama tanpa ilmu adalah sia-sia.
Ilmu dan agama tanpa amal adalah celaka.
Kita dimana?
Kauthar Hassan.
ARTIKEL YANG PENUH MANFAAT..
ReplyDelete