Saturday, April 23, 2011

Jangan jadi keldai

Imam Syafei berkata: “ Siapa yang tidak pernah marah dia adalah keldai. Dan siapa yang tidak memadamkan api kemarahnnya adalah syaitan”

Menarik. Imam Syafei menyifatkan seseorang itu boleh menjadi dua perwatakan dengan marah. Samada seperti keldai, atau seperti setan. Maka, kawal rasa marah.

Kali pertama mendengar, saya pun tak tahu. Apa sifat keldai yang dimaksudkan. Walaupun di Mesir ini keldainya bersepah. Tapi saya sendiri tak pernah tertarik untuk untuk menilik seekor keldai.

Sampailah pagi tadi, saya mulai perasan. Ada seorang budak menunggang keldai. Keldai itu kecil, tapi barang yang dibawa sangatlah banyak. Macam nak patah tulang keldai. Budak itu pula, pada mataku pukul dengan kuat untuk suruh keldai bergerak. Maka saya fahamlah. Keldai itu sifatnya sabar, patuh dan akur. Dalam erti kata lain,bodoh.

Sifat itulah yang Imam Syafei cuba tunjukkan. Jika manusia itu tidak ada rasa sensitif, sejuk macam timun (cold as cucumber), maka dia tidak ubah seperti keldai.

Manakala jika seseorang itu mempunyai sifat yang melampau ketika marah, dia tidak ubah seperti setan. Maka, besederhana dalam marah. Tahan diri dari marah itu yang terbaik.

Rasa marah itu bukan masaalah. Itu normal. Tiada orang yang tak pernah marah dalam dunia. Melainkan dia tak betul. Kita semua dilahirkan dengan pelbagai rasa; sayang, takut, marah, geram. Semua rasa itu adalah anugerah. Tapi ia boleh jadi terkutuk jika perasaan marah itu teransang pada alasan yang salah dan diarahkan pada sasaran yang salah. Rasa marah boleh membawa ke syurga apabila hadir sabar. Tapi menolak ke neraka apabila hilang sabar.

Marah membawa banyak keburukan. Buruk pada diri, buruk juga pada orang lain. Maka tahanlah rasa marah. Seseorang yang gagah perkasa dan handal bukan hanya yang mampu beradu tenaga, bahkan juga orang yang mampu menahan marah. Benar marah itu perlu dihindar dari seorang mukmin, tapi Allah izinkan bila rasa itu didorong oleh perasaan mahu membela kebenaran kerana Allah. Namun mestilah menurut cara hikmah dan batas yang dibenarkan. Jika kita perlu marah, maka janganlah ditahan. Marahlah bila islam dihina! Marahlah bila kehormatan dicabul! Marahlah bila hak dipijak!

Jangan jadi keldai!


Kauthar Hassan.

Hadith nabi tentang marah


Perkara Marah dan Yang Berkaitan Dengannya

Dari Abu Hurairah ra, bahawasanya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad SAW. “Berilah wasiat kepada aku”. Sahut Nabi : “Janganlah engkau marah”. Kemudian dia mengulangi beberapi kali. Sabda nabi: “Janganlah engkau marah.” Riwayat oleh Imam Bukhari.

Penerangan Hadis

Adapun maksud perkataan “Janganlah Marah” yang dikatakan kepada lelaki tersebut ialah jangan menurut nafsu kemarahan itu, dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu itu. Ini kerana kemarahan adalah satu-satunya dari tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

Sabda Nabi pada hadis yang lain: “Jauhilah kemarahan, kerana ia adalah bara api yang bernyala-nyala dalam hati anak Adam”. Cuba kita lihat bagaimana jika seseorang dalam keadaan marah. Kedua-dua matanya merah dan urat lehernya akan kelihatan timbul. Rasulullah pernah menerangkan: “Bahawa kemarahan itu dari syaitan. Dan sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadam dengan air. Apabila marah oleh seseorang kamu maka hendaklah ia berwudhuk”.

Abu Dzar al-Ghifari berkata: Rasulullah pernah berkata kepada kami: ”Apabila marah seorang kamu yang sedang berdiri maka hendaklah ia duduk supaya hilang kemarahannya. Kalau masih belum juga hilang maka hendaklah ia berbaring”.

Wallahu A’lam.

p/s: hari ni, aku marah. aku cuba untuk tahan, tapi air mata pula yang mengalir. itu tanda aku sangat marah.

Saturday, April 16, 2011

Lembu dan manusia, siapa lebih mulia?


Lembu: Bangun tidur-makan-minum-buang air- membajak di sawah- balik kandang- tidur semula-mati.

Manusia: Bangun tidur-makan-minum-buang air- kerja-balik rumah-tidur semula-mati.

Maaf jika tajuk ini agak kasar. Tapi ini hakikat, jika manusia dan lembu itu sama perjalanan hidupnya, maka manusia dan lembu itu serupa. Boleh jadi, lembu itu lebih mulia kerana patuh pada tuannya. Tapi manusia, sudahlah hidup tanpa matlamat, malah engkar pula pada pencipta.

Jadi apa perkara yang membezakannya? Yang utama, manusia dihisab oleh Allah. Tapi lembu tidak. Jika itu perbezaannya, maka kita juga harus berbeza dari cara kita menjalani kehidupan. Kita perlu menuju Allah dan mengajak orang lain menuju Allah.

Tapi saya lebih ingin membicarakan soal mengajak orang untuk berdakwah.

Sering kali timbul persoalan dalam berdakwah, mengenai titik seseorang untuk bermula. Kerana mereka merasakan, mereka sibuk dan tiada masa. Sibuk bekerja. Sibuk belajar. Mereka melihat dakwah itu bukan yang utama. Tersepit diantara rasa sibuk dan rasa kurang ilmu. Lalu lahir persoalan antara menuntut ilmu,bekerja dan berdakwah. Mana yang lebih utama? (ilmu disini boleh diertikan kepada 2; samada ilmu dunia mahupun ilmu agama)

Golongan pelajar, majoritinya berkata, peranan mereka ketika ini adalah menuntut ilmu.Mereka mungkin akan berhujah dengan hadith-hadith yang tertentu mengenai kelebihan menuntut ilmu dan sebagainya. Adakah para sahabat tidak pernah mendengar hadith-hadith itu? Para sahabat lebih hebat mencari ilmu berbanding kita. Tapi dakwah tidak mereka cicirkan.

Bagi golongan bukan pelajar, majoritinya berkata “Saya sendiri belum cukup ilmu, mana mungkin saya mampu berdakwah.

Orang yang menuntut ilmu itu murid. Manakala yang berdakwah pula guru. Mana mungkin seseorang itu menjadi murid hingga kiamat. Begitu juga seorang guru. Pasti suatu hari kedua-duanya membawa beban yang sama dalam masa yang sama. Tidak mungkin kita menunggu ilmu menjadi begitu banyak dalam diri , sudah habis menuntut ilmu barulah mahu menjadi guru. Padahal ilmu itu sangatlah luas dan proses mencari itu takkan pernah berhenti.

Mungkin juga, ada yang berkata, “Buat masa ini saya perlu belajar, nanti apabila selesai belajar barulah saya berdakwah, saya mempunyai tanggung jawab kepada penaja” Alasan ini mungkin akan diteruskan semasa bekerja. “Buat masa ini saya perlu bekerja, bila saya lapang nanti barulah saya berdakwah, saya mempunyai tanggung jawab kepada majikan dan keluarga” Dan seterusnya, apabila pencen. Mungkin dia boleh berkata, pencen lebih penting daripada dakwah! Bagaimana apabila kita mati? Apakah yang paling penting ketika itu?

Jadi, kita perlu bijak untuk menilai. Gagal mencari jawapan, kita berdiri di jalan yang salah. Satu golongan, sibuk belajar. Mereka banyak ilmu, mereka faham tapi mereka tidak mengamalkannya. Lantas tersekatlah proses dakwah. Satu golongan lagi, mereka terjun dalam bidang dakwah hanya berbekal semangat. Semangat tanpa ilmu takkan kemana.

Islam tidak menuntut kesempurnaan dalam berilmu barulah beramal. Di zaman Rasulullah s.a.w, para sahabat telah mula beramal dan terjun ke medan dakwah sedangkan wahyu masih terus turun. Selama wahyu masih turun, selama itulah ilmu Islam belum lengkap dan sempurna dan terus berkembang. Ada diantara para sahabat yang baru saja masuk Islam tetapi telah dituntut untuk melaksanakan amal tertentu dan dibebankan dengan tugas tertentu. Lihat saja Khalid bin Al-Walid yang memimpin tentera Rasulullah s.a.w sedangkan ia baru saja masuk Islam.

Ilmu dan pemahaman bukan hanya diperoleh dalam bentuk pengajian tetapi juga dalam bentuk amali yang memberi pengalaman. Cubalah untuk berdakwah. Benar ilmu dan faham itu penting sebelum beramal dan berdakwah, tetapi amal dan medan dakwah itu sendiri adalah landasan yang baik bagi membina ilmu dan kefahaman.

Ilmu tidak semuanya saling berkait. Tidak sepatutnya seseorang tidak perlu solat selagi mana dia belum faham persoalan zakat. Begitulah juga dengan kerja dakwah. Tidak saharusnya seseorang itu terhalang untuk menyumbang kerana hanya ia tidak lancar mambaca alquran


Sungguh, Manusia itu lemah. Manusia sering tersilap. Banyak ilmu, luas kefahaman masih tidak menjamin dari bebas kesilapan. Begitu juga ceteknya ilmu, singkatnya pengalaman tidak semestinya selalu salah dalam tindakan.

Walaubagaimanapun, kita harus cuba memahami tentang ilmu yang ingin disampaikan. Kerana kita tidak mungkin dapat memberi jika kita tidak memiliki apa-apa untuk diberi.

Menurut Dr. Muhammad Said Ramadan Al-butty dalam kitab Rahsia Dakwah Yang Berkesan,ciri-ciri yang perlu ada pada da'ie ialah:

1)Menunjukkan contoh yang baik.

2)Mengutamakan dakwah kepada orang-orang islam lebih terlebih dahulu. Ini kerana jika orang islam betul-betul mendalami islam,maka orang bukan islam akan tertarik dengan keindahan islam sendirinya.

3)Mengetahui hukum dan adab-adab islam yang berkaitan dengan ilmu-ilmu dakwah.

Disini saya simpulkan, ilmu dan dakwah itu bergerak seiring. Tapi jika tidak mampu, tunjukkan contoh yang baik dan berniat untuk mengajak orang lain kepada kebaikan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam orang yang tidak sia-sia hidup di bumiNya.

Ilmu tanpa agama adalah buta.

Agama tanpa ilmu adalah sia-sia.

Ilmu dan agama tanpa amal adalah celaka.

Kita dimana?


Kauthar Hassan.

Wednesday, April 13, 2011

Dari aku untuk kamu

Dengan kamu
walau komunikasiku tidak bersuara
kau selalu tahu apa yang ingin ku kata
kau selalu tahu apa yang ingin ku lihat
kau selalu tahu apa yang ingin ku buat

tika aku bersedih
kau tahu apa yang ingin ku dengar
kau berbisik ketelingaku
persis seorang magis
meniup sesuatu dihatiku
lalu aku pun tersenyum

kau selalu faham dengan diriku
kadang kala aku keliru
kau berlalu memberi ruang
membenarkan aku menilai sendiri

walau tiada bunyi dimulut
kau dengar
walau tidak terlihatkan sakit
kau tahu
walau air mataku bersembunyi
kau nampak
ketika hatiku rasa tiada yang memahami
kau faham

tak tahu kenapa aku rasa
kau bagai punya kuasa
mampu membuat hatiku tenang
walau tiada suara, aku tahu kau kata
insyaAllah, semuanya akan baik sahaja

kau tahu segalanya tentang aku
kau tahu apa yang aku bimbang
kau tahu apa yang aku takut
kau tahu apa yang aku suka
kau tahu aku tak mampu kongsi dengan sesiapa

aku nampak matamu bersinar
senyummu tersimpul
aku tahu kau bangga
kau juga tahu aku bangga
bangga atas persahabatan kita

dengan kamu
aku mengenal sahabat sejati
terima kasih ya Allah...

dari Kauthar untuk Amrah.

Kepimpinan ulama' ?

Sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini. Kesibukan menyebabkan penulisan ini terpaksa diletakkan di prioriti yang agak bawah. Tapi saya rasa tidak ada masalah bagi pengunjung. Ini kerana adanya RSS Feed di sistem blog sekarang yang memudahkan langganan. Tidaklah teruk asyik mengklik saban waktu, tanpa adanya kemaskini. (Ketika saya menulis ini, Saudara Syed Khir dari TV9 menghubungi saya dari Malaysia, bertanyakan mengapa sudah lama tiada update).

Ada satu isu yang saya rasa terpanggil untuk mengulas ringkas. Lebih-lebih lagi, ramai yang bertanyakan saya. Alang-alang biar saya tulis di blog sahajalah. Isu ini mungkin agak panas baru-baru ini. Banyak blogger menulis. Banyak yang diminta ulasan. Panasnya, hingga kebanyakan berita di laman rasmi Dewan Ulamak PAS berlegar sekitar isu ini. Isunya “Kepimpinan ulamak”. Perlu sangatkah ulamak yang menjadi pimpinan atau, tak kisahlah siapa pun, yang penting mendaulatkan Islam.

Sebelum saya menulis lanjut, perlu ditegaskan di sini, maksud saya dengan kempimpinan ulamak di sini, adalah ulamak yang memang mampu mentadbir dan memimpin serta memahami keperluan kepimpinan. Tidak dinafikan bukan semua ulamak mampu mantadbir. Adanya ulamak yang berjiwa bagai Sayidina Abu Dzar Radhiyallahu ‘Anh (yang cukup hebat tetapi tidak disarankan menjadi pemimpin) bukan menjadi kayu ukur kepimpinan ulamak yang dimaksudkan.

Saya juga perlu sebutkan di sini, kepimpinan bukanlah suatu perkara yang patut direbutkan oleh mana-mana pihak jua, tak kira ulamak mahupun profesional. Ia adalah satu beban, satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah di hari pembalasan nanti. Akan tetapi ia juga satu fardhu kifayah yang wajib ada dalam Negara Islam.

Saya ingin mengulas ringkas persoalan dari tiga sudut:

1. Apa pandangan Fuqaha‘?

2. Bagaimana dengan sejarah?

3. Bagaimana pula pimpinan Ikhwanul Muslimin baru-baru ini yang bukan berstatus ulamak?

1. Apa pandangan Fuqaha‘?

Secara ringkasnya, majoriti Fuqaha’ meletakkan syarat untuk seseorang menjadi khalifah atau pemimpin tertinggi Ummat Islam mestilah seorang mujtahid. Bukan calang-calang ulamak. MUJTAHID lagi. Ini kerana urusan sebagai khalifah bukanlah mentadbir manusia dalam urusan dunianya sahaja, tetapi juga akhiratnya. Malah mengatur urusan dunia juga dengan panduan syariat. Jadi hanya seorang yang arif urusan akhirat sahaja yang boleh mentadbir.

Andaikata tiada mujtahid pada zaman tersebut yang dapat mentadbir, maka diserahkan pula kepada orang yang paling banyak memiliki syarat-syarat ijtihad yang telah digariskan oleh para ulamak. Terlalu tinggi syaratnya, dan bukan sekadar memahami tuntutan agama secara dasar sahaja.

Dalam masa yang sama, ulamak yang mentadbir perlu merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang masing-masing untuk kelicinan pentadbirannya, sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam isu “mengahwinkan” pokok.

Namun tidak dinafikan di sana ada satu pendapat daripada Mazhab Hanafi yang berpandangan tidak disyaratkan untuk menjadi pempimpin mestilah seorang bertaraf mujtahid. Dalam pendapat ini, cukuplah seorang Muslim yang berfahaman dasar agama, dan sentiasa menjadikan ulamak sebagai sumber rujukan.

Pandangan majoriti Fuqaha’ bahawa syarat pemimpin mestilah seorang mujtahid ini juga menolak pandangan sebahagian pihak bahawa ulamak mestilah non-partisan dan menjauhkan diri dari urusan politik. Ini kerana jika semua ulamak terdahulu berpandangan begitu, bagaimana mungkin mereka meletakkan syarat mujtahid ini pada seorang khalifah.

2. Belajar dari sejarah..

Sesiapa yang tidak membaca sejarah takkan mampu mencipta sejarah. Kalam ini saya selalu ulang dalam ceramah-ceramah saya. Dalam isu sebesar ini lebih-lebih lagi kita perlu melihat kembali sejarah kita.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah pemimpin Negara Islam pertama. Itu tiada syak lagi. Selepas kewafatan baginda, bukan semua sahabat menjadi rujukan ilmu agama, dan berstatus mujtahid. Pengganti Baginda, Sayidina Abu Bakar asalnya seorang profesional. Tetapi akhirnya menjadi seorang mujtahid di kalangan para sahabat. Begitu juga dengan Sayidina Umar, Sayidina Utsman dan Sayidina Ali Radhiyallahu ‘Anhum Ajma’in. Kesemua mereka tergolong di kalangan mujtahid terbesar daripada para sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Mereka ini dinamakan Khulafa’ Arrasyidin.

Pengganti mereka pula adalah Sayidina Muawiyah. Juga di kalangan profesional yang menjadi ulamak. Beliaulah penulis wahyu. Beliau juga perawi hadis. Beliau juga salah seorang ulamak di kalangan para sahabat. Selepas itu, turun pula pemerintahan kepada anaknya Yazid. Yazid bukan ulamak. Apa yang terjadi?

Fitnah besar melanda ummat Islam. Perpecahan demi perpecahan yang besar berlaku. Tidak dinafikan pada zaman Muawiyah sudah wujud perpecahan ini. Malah daripada zaman Sayidina Abu Bakar dengan golongan enggan membayar zakat, dan begitu juga zaman Khulafa’ Arrasyidin yang lain. Akan tetapi di zaman Yazid, ia tidak terkawal. Perpecahan cukup besar, hingga empayar Islam ketika itu tidak diketahui siapa pemerintah sebenarnya.

Mungkin ada yang menyebut, lihatlah Khulafa’ Arrasyidin itu semuanya profesional bukan? Memang benar. Tetapi mereka telah ditarbiah oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri hingga mereka menjadi mujtahid besar. Profesional kita hari ini pun boleh jadi ulamak jika belajar dengan bersistem dan bukan hanya dasar-dasar Islam sahaja. Ilmu Islam boleh dipelajari oleh semua pihak. Menjadi mujtahid atau tidak, itu anugerah Allah.

3. Pimpinan Ikhwanul Muslimin pula bagaimana?

Ada pihak di Malaysia (malah di kalangan mereka yang ingin berjuang dalam gerakan Islam) yang menimbulkan persoalan, Syaikh Mustafa Masyhur dan Syaikh Mahdi Akif bukanlah di kalangan ulamak, akan tetapi bagaimana mereka menjadi Mursyidul Am bagi sebuah gerakan Islam yang cukup hebat, Ikhwanul Muslimin?

Senang ceritanya, Syaikh Mustafa Masyhur dan Syaikh Mahdi Akif walaupun tidak digelar ulamak, tetapi keilmuan mereka jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan “ustaz-ustaz” kita di Malaysia. Kitab-kitab karangan mereka sahaja sudah membuktikan betapa tinggi ilmu mereka. Banding dengan Ustaz pun kita kalah, belum nak dibandingkan dengan golongan profesional kita.

Mereka tidak digelar ulamak. Tetapi mereka telah menghafal AlQuran dari kecil. Hadis telah menjadi sebati dalam diri. Kalam Fuqaha’ dan ulamak mereka telah hadami. Walaupun Syaikh Mahdi contohnya, adalah guru sukan, tetapi beliau adalah khatib di Masjid. Beliau adalah pendakwah yang cukup tegar. Ilmunya jauh lebih hebat dari kita. Jadi sebenarnya perbandingan yang kita lakukan dengan profesional Malaysia lansung tidak kena. Malah ia lebih menunjukkan betapa Ikhwanul Muslimin sehingga hari ini masih lagi menitikberatkan kepimpinan ulamak.

Adapun di Malaysia, oleh kerana suasana tempatan kita yang jauh berbeza, dan tahap keilmuan kita juga yang masih rendah, maka tahap mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam Pengajian Islam adalah satu kayu ukur mudah untuk ketetapan kelayakan minimum. Saya mengakui ada juga mereka yang tiada ijazah jauh lebih alim daripada yang mempunyai PhD., akan tetapi amat sukar untuk kita menentukan tanpa kayu ukur begini.

Akan tetapi bukan semua yang memiliki ijazah sarjana muda (hatta PhD) dalam pengajian Islam adalah ulamak. Banyak juga apa yang diistilahkan sebagai Ustaz Mee Segera atau Ulamak Mee Celup. Ada juga yang ijazah bergulung tetapi kefahaman agama amat kurang, maka kita perlu pula meletakkan syarat-syarat lain untuk mengenalpasti golongan ulamak (antaranya adalah dengan mengenalpasti dengan guru-guru mana yang dipelajari, dan kitab-kitab apakah yang sudah dikhatamkan).

Tulisan ini bukan ingin merendahkan mana-mana golongan. Maaf jika ada yang terasa pula. Ia hanya sekadar satu pencerahan yang saya rasa perlu dilakukan, dan satu jawapan kepada beberapa persoalan yang masih berbuku di hati kebanyakan kita, khususnya yang ingin bergelar pejuang Islam.

Saya juga tidak menafikan kewujudan khilaf ulamak dalam hal ini yang membolehkan kita bertaqlid dengan pendapat kedua. Namun saya masih tidak nampak rasionalnya untuk meninggalkan pendapat majoriti Fuqaha’ ini berdasarkan sirah dan pengalaman gerakan Islam selama ini.

Moga gerakan Islam akan makin utuh apabila gabungan ulamak dan profesional dapat bersatu hati dan tidak berpuak-puak. Malah biarlah kita menjadi satu. Sudah ramai ulamak yang menjadi profesional pada hari ini. Satu hari nanti, kita harapkan moga ramai di kalangan profesional kita pula yang boleh bergelar ulamak kemudiannya. Amiin.


http://aljoofre.iluvislam.com/?p=87

Wednesday, April 6, 2011

Aku ingin disayangi


Kenapa ada manusia kaya? Sebab Allah itu bersifat Rahman. Tapi lumrah dalam masyarakat ada juga yang miskin. Sepatutnya orang kaya mengikut sifat pemurah Allah . Orang kaya sepatutnya membantu orang miskin.

Teringat sebuah kisah sahabat bernama Abi Qatadah. Satu hari Abi Qatadah keluar rumah untuk kutip hutang. Bila orang yang berhutang itu ternampak Abi Qatadah, dia cepat2 lari sembunyikan diri. Tapi Abi Qatadah nampak. Lalu Abi Qatadah berkata: “Kenapa kau sembunyi bila ternampak aku?” Orang itu menjawab: “Sebab saya belum ada wang untuk bayar hutang.”Abi Qatadah tanya lagi: “ Kau sembunyi sebab takut Allah atau takut padaku?” Orang itu jawab:” Kerana Allah.”

Lalu Abi Qatadah berkata” Aku mendengar rasulullah s.a.w pernah bersabda “ siapa yang berharap Allah melepaskan dia dari kesusahan di hari akhirat, maka hendaklah dia menyenangkan orang yang berhutang.” Lalu abi qatadah pun berlalu pergi.

Orang yang memberi hutang lebih mulia dari yang bersedeqah. Sebab orang yang berhutang lazimnya adalah orang yang terdesak. Dia tiada jalan lain selain berhutang. Sedangkan sedeqah kadang-kadang ia bukanlah sasuatu yang amat diperlukan oleh orang yang menerima waktu itu.

Seperti kata pepapatah: sekali berdayung dua pulau berlalu. Maksudnya, mulianya orang yang melupuskan hutang. Sudahlah dia membantu melepaskan kesusahan sehabatnya waktu itu, kemudian dia dapat pula pahala bersedeqah.

Sesungguhnya terdapat satu pengajaran yang mulia dari hadis tersebut. Orang yang mempunyai rezeki yang lebih hendaklah bersimpati kepada golongan yang miskin. Beri hutang ketika meraka sangat memerlukan. Kemudian lupuskan hutang tersebut jika orang itu tak mampu membayar pada waktunya.

Melupuskan hutang dapat membebaskan seseorang dari beban yang ditanggung. Dalam masa yang sama, ia menggembirakan hati orang yang berhutang.

Kisah Abi Qatadah tadi memberitahu keadaan orang yang berhutang. Die rasa malu bila ternampak Abi Qatadah. Malu kerana menanggung hutang adalah kesan psikologi yangburuk. Sebab itu rasulullah ada mengingatkan dalam satu hadis” Jauhilah kamu dari berhutang, kerana hutang itu mendatangkan dukacita di waktu malam dan mendatangkan kehinaan di waktu siang”.

Tapi sangat malang zaman sekarang. Ramai orang suka berhutang. Berhutang bukan sebab kesempitan hidup, tapi sebab nak dapatkan lagi kemewahan hidup. Nak beli lagi kereta. Nak pergi bercuti. Nak besarkan perniagaan. Tambah malang lagi, sudahlah berhutang, hutang pula dengan pihak yang mengamalkan riba.

Kalau hutang yang juta-juta ringgit itu tak dibayar, nascaya semua hutang itu akan dibawa ke alam barzakh dan akhirat. Sedangkan mati syahid yang Allah dah janji terus masuk syurga pun akan tersekat sebab hutang.

Lalu bagaimana dengan Negara yang berhutang? Tahu atau tidak, di dunia ini terdapat sebuah bank dunia yang memberi hutang kepada negara-negara yang memerlukan. Sekali terjebak bukan mudah untuk lepas. Mungkinkah negara kita yang tercinta juga terjerumus ke dalam gaung itu? Kita sedar atau tidak? Jadi sekarang siapa yang menanggung hutang-hutang itu?

Bersambung…

Sunday, April 3, 2011

tegur aku

Bangga sekejap. Aku langsung tak sangka aku yang jadi pemenang untuk dress terbaik malam ni. Tak sia-sia usaha aku. Bukan senang nak cari baju ni. Habis semua kedai baju dekat Mansurah aku masuk. Haha..Bangga kot.

Tika aku sedang sibuk melayan ucapan tahniah dari rakan-rakan, tiba-tiba ada message masuk ke handphone.

Belum sempat aku buka, masuk pula satu lagi message.

Mamat: cantiknye u malam ni. Jom, I belanja minum.

Aku senyum. Mamat nak belanja minum. Dah lama tak keluar berdua.

Dari jauh aku nampak mamat melambai-lambai ke arahku. Bila aku sampai dia terus peluk dan cium dipipi. Aku kaget, tapi aku biarkan.

Jom. Mamat pegang tangan aku. Dia senyum memandangku. Matanya mengecil. Senyumnya meleret. Aku pun senyum saja. Kami berdua jalan menyusur di tepi jalan. Jam pukul 12 malam.Tak lama kemudian, dia letak pula tangannya di pinggangku. Aku biarkan lagi. Tiba-tiba aku teringat tadi ada message masuk. Aku tak sempat baca. Aku pun buka.


“Tegur aku jika aku mulai sombong,
Tegur aku jika aku mulai angkuh,
Tegur aku jika aku mulai salah,

Tegur aku jika aku berdosa,
Kerana aku masih ingin menjadi temanmu,

Dan izinkan ku jua untuk menegur dirimu.

Kerana aku juga mahu kau menjadi temanku.
Sama-sama dalam rahmat dan lindungan Allah.

Sama-sama terhindar dari azab Allah.

Kerana aku mengasihimu..”


Aku tercengang. Lama aku tatap massage itu.

Ya Allah, maafkan diriku. Memang aku sedar selama ini aku salah. Bukan aku tak tahu dosa pahala. Tapi aku lupa. Sebab aku hanyut dalam rasa gembira. Aku lupa pada siksa Allah. Terima kasih sahabat kerana ingatkan aku.

********

"Dan tegurlah mereka dengan cara yang lebih baik. Iaitu dengan kekuasaan. Bila tak mampu tegurlah dengan lisan. Jika tidak mampu juga tegurlah dengan hati. Tapi itulah selemah-lemah iman."

Tapi tegarkah kita membiarkan sahabat kita hanyut? Hanya berharap dalam hati. Alasannya mudah, takut putus kawan. Takut kena gelak. Takut kena pulau. Takut kena pukul. Betullah dunia dah terbalik. Orang berani buat maksiat. Orang yang melarang maksiat pula yang takut.

Jika itu alasannya, lebih baik tak payah berkawan. Sebab kalau ada kawan, tapi tak bertanggungjawab atas kawan, kita juga yang susah. Apa kita nak jawab dihadapan Allah?

Nasihat sangat penting dalam hidup. Sampaikan Allah juga menggariskan, memberi nasihat itu adalah salah satu karakter dari orang yang tidak rugi dalam hidup.

''Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali yang beriman dan juga beramal soleh. Yang berpesan pada kebenaran. Juga berpesan pada kesabaran." (al-asr)

Seorang sahabat adalah cermin bagi sahabatnya. Sahabatlah yang bertindak sebagai agen pembaik pulih bagi sahabatnya. Baiki dirinya dan menampung kekurangannya dengan nasihat yang baik.

Sebab itu, nasihat atau teguran bukanlah satu hukuman. Nasihat sepatutnya mendatangkan kebaikan, bukan membongkar aib atau menjatuhkan kehormatan.

Maka, belajarlah untuk memberi nasihat. Beri nasihat dengan baik, santun dan penuh kasih sayang.

Tapi lain orang, lain caranya. Jika kita mempunyai sahabat, maka kitalah orang yang lebih tahu, cara apa yang sahabat kita redha. Buatlah apa cara yang kita fikirkan terbaik. Asal tidak meninggalkan tanggungjawab.

Salah satu adab memberi nasihat, lakukan di luar pengetahuan orang lain. Ini untuk menutup kekurangan dan menjaga kehormatannya. Nasihat yang tulus, tidak mungkin dilakukan dengan cara yang buruk.

Fudhail bin Iyadh berkata, ''Orang beriman adalah orang yang menutup aib saudaranya yang menasihati, sedangkan orang fasik adalah orang yang merosak dan mencela.''

Tapi sungguh, memberi nasihat bukanlah mudah. Sabarlah dan siap sedia menerima risiko. Boleh jadi orang yang dinasihatkan menerima dengan redha. Boleh jadi dia menolak dan melawan. Tapi ingatlah, murka Allah itu lebih dasyat dari marah seorang sahabat.

Maka, ikhlaskan hati mu. Beranikan jiwamu. Carilah redha Allah atas kasih persahabatan. Indahnya punya sahabat yang saling mendukung, saling mengingatkan, saling berlumba membuat kebaikan.


Kauthar Hassan.

Hendawi, Mansurah.