Thursday, March 17, 2011

Islam itu apa ada padanya

Terkejut saya apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang saya sifatkan sangat tidak manis terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin dan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi ketika berada di Turki baru-baru ini.

Menurut laman web National Review Online, Perdana Menteri itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan bernada kesal dengan keterlibatan Ikhwanul Muslimin dengan protes mendesak pengunduran Hosni Mubarak di Mesir yang disifatkan oleh beliau berunsur violence and extremism (keganasan dan berfahaman melampau).

Ditambah lagi dengan kenyataan beliau yang menggambarkan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi selaku seorang yang menyokong keganasan. Di antara ayat-ayat kurang manis dalam laporan tersebut ialah :

"Those concerns center on Qaradawi’s support and justification for terrorism"

Saya kira Perdana Menteri itu sudah lupa langit ‘tinggi-rendah’ sewaktu mengeluarkan kenyataan tersebut. Saya khuatir, lawatannya ke Turki hanya untuk berguru dengan tokoh sekular Turki yang jasadnya berkubur di situ. Sudahlah beberapa minggu lepas, salah seorang bekas Perdana Menteri Malaysia menulis menyerang saya dengan melabelkan Kamal Attarturk sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada Islam. Hari ini Perdana Menteri pula menziarahi pusara Kamal Attarturk dan meletakkan kalungan bunga di situ, satu amalan yang telah difatwakan haram di Malaysia. Barangkali itulah Islam sederhana, ajaran baru UMNO.

Ingatlah, sesungguhnya tiada Islam sederhana, Islam melampau atau Islam kedai kopi. Semuanya Islam yang datang dari Rasulullah SAW. Setiap yang berbeza, itu bukannya Islam.

Pertama, saya ingin bertanya, atas neraca mana nama ganas itu mahu ditampal? Adakah setiap perbuatan menuntut hak setelah dinafikan itu ganas? Dalam Islam, neraca yang paling tepat ialah sunnah Rasulullah SAW dan bukan neraca Hillary Clinton. Baginda dan para sahabat telah berada di bumi tempat tumpah darah : Makkah al-Mukarramah selama 13 tahun, selama tempoh itulah umat Islam di Madinah dizalimi, dinafikan hak mereka bahkan pernah dipulau selama tiga tahun di Syi’ib Ali. Mereka tidak dibenarkan berjual beli dengan sesiapa, salam mereka tidak berjawab, sapaan/teguran mereka tidak berbalas. Mereka ditekan dengan pelbagai tekanan namun tidak sekalipun mereka melawan kerana belum mendapat keizinan daripada Allah SWT. Hanya di Madinah, barulah Allah SWT memerintahkan agar umat Islam berperang membela diri dan menjaga maruah. FirmanNya (Al-Quran Surah al-Taubah 9: 36):


Dan perangilah kaum musyrikin (yang memerangi kamu) itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya.


Di Madinah, umat Islam akhirnya dibenarkan melawan dan mengangkat pedang memerangi kezaliman ke atas mereka. Tiga belas tahun mereka bersabar di Mekah, namun kesabaran manusia ada hadnya. Jika binatang sekecil kucing pun boleh melawan jika ditindas, apatah lagi makhluk yang berakal seperti manusia? Adakah Rasulullah SAW dan para sahabat itu boleh disifatkan ganas?

Suka saya nyatakan, jika Rasulullah SAW itu disifatkan ganas, maka semua Muslim seharusnya bersedia untuk menjadi pengganas!

Hosni Mubarak telah menzalimi rakyat Mesir selama 30 tahun. Bila diadakan pilihan raya, dikatakan dia mendapat kemenangan hampir 99.99%. Adakah menjatuhkan pemimpin seperti ini dianggap sebagai ganas? Janganlah pula membuat tuduhan bahawa Ikhawanul Muslimin yang terlibat, sedangkan apa yang jelas berlaku di Mesir ialah kebangkitan rakyat. Tidakkah Perdana Menteri Malaysia mengetahui bahawa mereka yang terlibat dengan protes ini terdiri daripada segenap lapisan rakyat Mesir? Muslim, Kristian, kelas bawahan, menengah bahkan atasan sekalipun, hatta aktivis Google telah berdiri dalam satu barisan menuntut pengunduran Mubarak. Isunya ialah penyelewengan, penindasan dan kezaliman rejim Hosni Mubarak. Maka, jangan pula getahnya dipalitkan kepada Ikhwan!

Islam tidak mengajar untuk melakukan keganasan, tetapi Islam tidak membenarkan umatnya menghina diri dan merelakan perlakuan zalim ke atas diri mereka. Peliknya, ketika Hosni Mubarak menzalimi rakyatnya sendiri, mulut-mulut ini diam seribu bahasa, apabila rakyat Mesir bertindak menuntut hak, mereka pula dilabelkan sebagai ganas. Demikianlah juga ketika Iraq dan Afghanistan dihancurkan oleh Amerika Syarikat, mana perginya perkataan ganas itu? Begitu juga dengan tindakan PBB membelah bahagikan bumi Palestin demi kepentingan Israel, PBB dan Israel tidak dilabelkan ganas. Apabila rakyat Palestin bertindak walau pun hanya dengan melontar batu, mereka sudah dianggap ganas! Alangkah sengetnya neraca yang mereka gunakan.

Al-Qaradawi ialah ulama berjasa. Beliau pernah dipenjarakan ketika Perdana Menteri Malaysia hari ini belum lagi lahir ke dunia. Beliau telah mengarang puluhan kitab dalam pelbagai disiplin ilmu, pemikirannya dijadikan kajian oleh ratusan sarjana di seluruh dunia bahkan kerajaan Malaysia sendiri menobatnya sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431H.

Istighfarlah banyak-banyak. Ingatlah kepada Allah SWT sebelum melabelkan ulama yang mulia dengan tuduhan seperti itu. Harapan saya Perdana Menteri sekarang tidak berguru dengan salah seorang bekas Perdana Menteri yang semakin mengarut kenyataannya. Saya simpati dengan bekas Perdana Menteri itu.

Semoga Allah SWT memberi hidayah dan keinsafan kepada mana-mana hamba-Nya yang dikehendaki-Nya.

http://www.blogtokguru.com/islam-sederhana-ajaran-baru-umno/

No comments:

Post a Comment