Tuesday, March 29, 2011

Jika ini rupanya, apa lagi yang kita harapkan?


Di Malaysia , dinamik politik selalu berubah. Tidak pernah static. Berita baru setiap hari. Jika kisahnya menjaga kebajikan rakyat tidak mengapa. Tapi ada juga kisah keji yang disiarkan. Praktiknya politik di Malaysia adalah kotor dan penuh dengan penipuan. Pelbagai manipulasi di sebalik kaca tv. Semua yang tersiar dalam berita Malaysia berat sebelah. Jika kisah itu mempunyai side story, ia akan diputar belit sehingga masyarakat teralih kepada kisah yang lain.

Terasa mual dengan kisah porno sang menteri. Kisah Rogol, liwat, zina, perempuan simpanan, lelaki simpanan, gay, pondan. .Lepas satu, satu. Kes yang dulu tak pernah selesai. Timbul pulak isu yang baru. Fitnah jadi sebati. Tak takut lagi hukum Allah. Masyarakat yang lurus bendul pening. Yang kurang bijak telan saja. lalu melebel, politik itu kotor.


Politik jadi kotor sebab ideology yang berkepentingan. Selagimana menguntungkan sesuatu pihak, tidak kira apa cara untuk medapatkannya. Hukum hakam tolak tepi. Kisah aib dibuka. Yang Allah buka sedaya upaya ditutup. Yang haram jadi halal. Yang halal jadi haram. Orang baik dicelakakan, orang tercela pula disanjung-sanjung.

Persepsi negatif terhadap politik menimbulkan impak yang bukan kecil. Lalu terlahir golongan anti politik. Mereka mahu bermasyarakat. Mereka mahu bawa islam. Mereka mahu amal maaruf nahi mungkar. Tapi mereka tidak mahu politik. Inilah namanya pemikiran secular. Lahir dari kemalasan otak untuk berfikir. Mengasingkan politik dari kehidupan sama seperti mengasigkan politik dari agama. Sebab hidup kita kerana agama. Politik tanpa nilai agama seolah-olah ia hanya sekadar urusan dunia. Sedangkan islam tertegak di bumi Madinah atas tiket politik.

Inilah bahasa politik Malaysia. Bila tiba pilihanraya, kisah karut peribadi akan dicanang-canangkan. Sengaja ia disiarkan, supaya rakyat teralih kepada kisah tersebut daripada memikirkan soal pilihanraya yang akan menjelma. Supaya rakyat tertutup telinga dari mendengar kisah rasuh yang berlaku. Supaya rakyat terlupa sekejap untuk menuntut keadilan.

Untuk rekod, wajah kotor politik Malaysia bukan baru. Kisah mati kerana politik bermula sejak 1969 lagi apabila Samad Gol dari Kelantan mati kena kapak kecik di kepalanya. Ibrahim Libya di Memali dibunuh dengan kejam bersama pengikutnya. Dan peristiwa berdarah Lubok Merbau semasa PRK di sana. Ibrahim Libya dikatakan pengganas, Samad Gol dikatakan terlalu berpengaruh manakala di Lubok Merbau petugas PAS dibelasah dengan teruk. Kisah zina Anwar Ibrahim telah mula sejak tahun 1998 lagi. Tapi tiada keadilan dalam kisah-kisah ini. Ia terhenti begitu saja. Kerana jika terdedah kebenarannya, pihak yang berkepentingan akan dibuang. Lalu mereka berusaha sebaik cara menutupnya. Akhirnya terlipat dalam sejarah Semua ini dikaitkan dengan parti yang tidak bersetuju dengan pemerintah.

Sedangkan kisah Altantuya pun tak tahu mana hujung pangkalnya. Senyap sesenyap senyapnya.

Jadi benarkah politik itu kotor? Asalnya ia tidak kotor. Tapi ia jadi kotor oleh tangan-tangan yang kotor. Jangan kita biarkan ia terus kotor. Bagaiman islam mahu bangkit diatas jalan yang kotor. Mari kita bersihkannya kembali. Dekatkan kembali politik pada agama. Kalau bukan kita yang faham dengan kesuciannya yang membela, lantas takkan lah orang yang tiada agama pula menyambutnya.

Kita sekarang berada di zaman perubahan kuasa politik. Saya percaya akan positive evolution dimana semua hal akan berubah di dunia ini. Change is the only one that is certain. Tugas kita adalah memastikan bahwa perubahan itu adalah perubahan positif. Perubahan yang membawa manfaat baik untuk diri kita dan orang lain. Mari kita gerakkan roda perubahan ke arah kebaikan yang membangun demi masa depan kita semua, anak cucu kita dan semua orang yang tidak mampu membela dirinya sendiri.


Kalau inilah wajah politik rakyat Malaysia, apa yang kita harapkan untuk masa depan generasi akan datang?


Kauthar Hassan.

video lucah dan dosa politik

Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.


Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.


Ramai individu dalam parti-parti telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.


Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi s.a.w

“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).


Aib Peribadi

Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian.

Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi –sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama.

Firman Allah(maksudnya):


“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).

Nabi s.a.w sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata: Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.


Bukan Bukti Asas

Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.


Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:

“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”


Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.


Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).


Berbeza Dengan Kes Kezaliman

Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat.


Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.

Firman Allah: (maksudnya)


“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).


Tidak Perlu Suruhanjaya

Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf(menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.

Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah: “Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan).


Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…


Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).


Ingatan

Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya)


“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12).


Bangkit Generasi Baru!

Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakunkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!


http://drmaza.com/home/?p=1379

Thursday, March 24, 2011

Engkau berdosa padaku


Walau dia bukan bapaku, aku tetap sedih. Meremut rasa hati. Memang dia tiada kaitan dengan aku. Tapi dia yang membimbingku dari jauh.

Fitnah lagi. Fitnah lagi. Bukan sekali tapi 2,3,4 kali. Ikutkan hati mau saja aku doakan pembuat fitnah itu dipanah petir. Tapi aku lebih memilih supaya Allah muliakan kembali bapaku.

Sekarang kau buat fitnah. Aku tidak rasa ada sesiapa pun berani menempah tiket ke neraka. Mungkin dalam hati kecil kamu pernah terlintas, maafkan aku, aku sangat terdesak. Bila selesai kerjaku ini aku akan minta maaf padanya. Sedangkan nabi ampunkan umat. Apatah lagi orang biasa.

Mungkin bapaku akan memaafkanmu kerana kesian melihat dirimu koma. Atau kerana kesian melihat keluarga kamu yang tak henti-henti merayu padanya. Tapi boleh jadi juga bapaku takkan memaafkan kamu . Sebab bukan sekali benda ini terjadi. Tunggu saja Allah yang balas.

Kalaupun benar kamu insaf. Kamu dapat kemaafan. Kamu anggap ini selesai? Jangan lupa pada kami. Kami juga berdarah dalam hati. Benar kau boleh ucap saja pada press conference. Maafkan dirimu. Tapi belum tentu dari seribu ada satu yang memafkanmu. Kalau setakat ucapan umum, lebih baik simpan saja maaf dalam hati.

Sebab aku bukan nabi. Susah untuk memaafkan salahmu padaku. Tunggu saja Allah yang balas.

Thursday, March 17, 2011

Islam itu apa ada padanya

Terkejut saya apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang saya sifatkan sangat tidak manis terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin dan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi ketika berada di Turki baru-baru ini.

Menurut laman web National Review Online, Perdana Menteri itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan bernada kesal dengan keterlibatan Ikhwanul Muslimin dengan protes mendesak pengunduran Hosni Mubarak di Mesir yang disifatkan oleh beliau berunsur violence and extremism (keganasan dan berfahaman melampau).

Ditambah lagi dengan kenyataan beliau yang menggambarkan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi selaku seorang yang menyokong keganasan. Di antara ayat-ayat kurang manis dalam laporan tersebut ialah :

"Those concerns center on Qaradawi’s support and justification for terrorism"

Saya kira Perdana Menteri itu sudah lupa langit ‘tinggi-rendah’ sewaktu mengeluarkan kenyataan tersebut. Saya khuatir, lawatannya ke Turki hanya untuk berguru dengan tokoh sekular Turki yang jasadnya berkubur di situ. Sudahlah beberapa minggu lepas, salah seorang bekas Perdana Menteri Malaysia menulis menyerang saya dengan melabelkan Kamal Attarturk sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada Islam. Hari ini Perdana Menteri pula menziarahi pusara Kamal Attarturk dan meletakkan kalungan bunga di situ, satu amalan yang telah difatwakan haram di Malaysia. Barangkali itulah Islam sederhana, ajaran baru UMNO.

Ingatlah, sesungguhnya tiada Islam sederhana, Islam melampau atau Islam kedai kopi. Semuanya Islam yang datang dari Rasulullah SAW. Setiap yang berbeza, itu bukannya Islam.

Pertama, saya ingin bertanya, atas neraca mana nama ganas itu mahu ditampal? Adakah setiap perbuatan menuntut hak setelah dinafikan itu ganas? Dalam Islam, neraca yang paling tepat ialah sunnah Rasulullah SAW dan bukan neraca Hillary Clinton. Baginda dan para sahabat telah berada di bumi tempat tumpah darah : Makkah al-Mukarramah selama 13 tahun, selama tempoh itulah umat Islam di Madinah dizalimi, dinafikan hak mereka bahkan pernah dipulau selama tiga tahun di Syi’ib Ali. Mereka tidak dibenarkan berjual beli dengan sesiapa, salam mereka tidak berjawab, sapaan/teguran mereka tidak berbalas. Mereka ditekan dengan pelbagai tekanan namun tidak sekalipun mereka melawan kerana belum mendapat keizinan daripada Allah SWT. Hanya di Madinah, barulah Allah SWT memerintahkan agar umat Islam berperang membela diri dan menjaga maruah. FirmanNya (Al-Quran Surah al-Taubah 9: 36):


Dan perangilah kaum musyrikin (yang memerangi kamu) itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya.


Di Madinah, umat Islam akhirnya dibenarkan melawan dan mengangkat pedang memerangi kezaliman ke atas mereka. Tiga belas tahun mereka bersabar di Mekah, namun kesabaran manusia ada hadnya. Jika binatang sekecil kucing pun boleh melawan jika ditindas, apatah lagi makhluk yang berakal seperti manusia? Adakah Rasulullah SAW dan para sahabat itu boleh disifatkan ganas?

Suka saya nyatakan, jika Rasulullah SAW itu disifatkan ganas, maka semua Muslim seharusnya bersedia untuk menjadi pengganas!

Hosni Mubarak telah menzalimi rakyat Mesir selama 30 tahun. Bila diadakan pilihan raya, dikatakan dia mendapat kemenangan hampir 99.99%. Adakah menjatuhkan pemimpin seperti ini dianggap sebagai ganas? Janganlah pula membuat tuduhan bahawa Ikhawanul Muslimin yang terlibat, sedangkan apa yang jelas berlaku di Mesir ialah kebangkitan rakyat. Tidakkah Perdana Menteri Malaysia mengetahui bahawa mereka yang terlibat dengan protes ini terdiri daripada segenap lapisan rakyat Mesir? Muslim, Kristian, kelas bawahan, menengah bahkan atasan sekalipun, hatta aktivis Google telah berdiri dalam satu barisan menuntut pengunduran Mubarak. Isunya ialah penyelewengan, penindasan dan kezaliman rejim Hosni Mubarak. Maka, jangan pula getahnya dipalitkan kepada Ikhwan!

Islam tidak mengajar untuk melakukan keganasan, tetapi Islam tidak membenarkan umatnya menghina diri dan merelakan perlakuan zalim ke atas diri mereka. Peliknya, ketika Hosni Mubarak menzalimi rakyatnya sendiri, mulut-mulut ini diam seribu bahasa, apabila rakyat Mesir bertindak menuntut hak, mereka pula dilabelkan sebagai ganas. Demikianlah juga ketika Iraq dan Afghanistan dihancurkan oleh Amerika Syarikat, mana perginya perkataan ganas itu? Begitu juga dengan tindakan PBB membelah bahagikan bumi Palestin demi kepentingan Israel, PBB dan Israel tidak dilabelkan ganas. Apabila rakyat Palestin bertindak walau pun hanya dengan melontar batu, mereka sudah dianggap ganas! Alangkah sengetnya neraca yang mereka gunakan.

Al-Qaradawi ialah ulama berjasa. Beliau pernah dipenjarakan ketika Perdana Menteri Malaysia hari ini belum lagi lahir ke dunia. Beliau telah mengarang puluhan kitab dalam pelbagai disiplin ilmu, pemikirannya dijadikan kajian oleh ratusan sarjana di seluruh dunia bahkan kerajaan Malaysia sendiri menobatnya sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431H.

Istighfarlah banyak-banyak. Ingatlah kepada Allah SWT sebelum melabelkan ulama yang mulia dengan tuduhan seperti itu. Harapan saya Perdana Menteri sekarang tidak berguru dengan salah seorang bekas Perdana Menteri yang semakin mengarut kenyataannya. Saya simpati dengan bekas Perdana Menteri itu.

Semoga Allah SWT memberi hidayah dan keinsafan kepada mana-mana hamba-Nya yang dikehendaki-Nya.

http://www.blogtokguru.com/islam-sederhana-ajaran-baru-umno/

Friday, March 11, 2011

Pilihan raya tidak adil punca Hosni Mubarak ditolak. Lalu bagaimana pula dengan Ikatan Mahasiswa Anak Melaka Mesir (IMAM)??

Faktor utama kejatuhan regim Hosni Mubarak di Mesir sebab rakyat menolak pilihanraya yang penuh dusta.

Setiap kali pilihanraya, pihak pemerintah sentiasa mendapat kemenangan luarbiasa sedangkan hak sebenar rakyat dalam proses itu dinafikan.

lalu bagaimana dengan IMAM? Meskipun dalam bentuk berbeza, keresahan anak-anak Melaka berkait perkara yang sama di negara mesir. Ini bukan perkara remeh.

Kami, anak-anak Melaka sedar dan cuba mengikuti dengan faham tuntutan yang ingin dibawa oleh IMAM. Tetapi banyak persoalan kami tidak dijawab. Suara kami tidak depedulikan. Kami mahu mereka yang terlibat dalam organisasi menjelaskan secara terang. Supaya kami tidak dipermainkan dengan pelbagai kesangsian dalam persatuan ini.

Kami boleh terima mana-mana persatuan. Kami boleh terima siapa yang mengetuai persatuan. Kami boleh terima siapa kalah, siapa menang. Tapi kami tidak mahu kompromi dalam organisasi yang berat sebelah. Tiada pemilihan dibuat. Tahu-tahu kami sudah mempunyai kepimpinan.

Jika perkara ini dibiarkan, kelak organisasi IMAM akan sentiasa dipegang oleh individu-individu yang berkepentingan sahaja. Suara anak-anak Melaka tidak akan dilayan.

Dari perkara paling asas, penubuhan IMAM atas kewujudan BKKIMM hingga kini terus menjadi persoalan. Sungguh kami tidak faham. Berapa banyak yang kami perlu sertai sebenarnya???

Penubuhan persatuan kebajikan IMAM ini sangat pelik dan aneh. Kerana kami diketuai oleh adik-adik yang baru tiba ke Mesir. bukan hendak mempertikaikan kemampuan mereka. Tapi kami anak-anak Melaka ini bagai satu keluarga. Punya senioriti dalam kepimpinan. Mana mungkin adik-adik tahun 1 lebih arif dengan kehidupan disini berbanding abang-abang tahun 4, 5 dan 6.

Malang dan mengejutkan, IMAM terus ditubuhkan walaupun tidak mendapat persetujuan anak-anak Melaka. Lebih mengelirukan BKKIMM pula ditolak keberadaanya.

Semua anak-anak Melaka harus menjadi ahli IMAM. Jika tidak, adakah kebajikan kami tidak akan dijaga?

Lebih teruk, semua pemegang TAPEIM diwajibkan menyertai persatuan ini. Kami pelajar perubatan tiada masa untuk menyertai pelabagai persatuan. Persatuan yang sedia ada sudah terlalu banyak dan tidak mampu kami ikuti. Apatah lagi persatuan rumah negeri yang berpusat di Cairo. Lagi susah untuk pelajar-pelajar cawangan untuk melibatkan diri didalamnya.

Disini saya simpulkan;

Kami mempertikaikan kenapa IMAM ditubuhkan sedangkan BKKIMM sudah ada. Berikan kami sebab kenapa kami perlu menolak BKKIMM yang telah lama membantu kebajikan kami lalu berpaling tadah kepada IMAM?

Kami juga memprtikaikan tentang pemilihan organisasi IMAM. Jika ini persatuan kami, maka tolong hargai suara kami.

Yang menuntut keadilan,

Kauthar Hassan.

Mansurah.