Sunday, May 29, 2011

Of Edema, Boroi and Black Magic




“Eh eh, tengok dia tu, gemuknya! Ini mesti sebab tak jaga makan, sekali makan entah berapa pinggan agaknya!”

“Huish..jangan tunjuk. Ini mesti kes kena santau dek bomoh ni!”

Kadang-kadang, kita nampak sesuatu yang kita tidak tahu mengenainya, namun akal kita mudah sekali menduga dan menganggap ianya sesuatu perkara yang negatif. Seperti gambar di atas, sekiranya individu berkenaan berjalan di tengah-tengah kotaraya, pasti ada yang mengatakan beliau ini obese, boroi dan sebagainya.

Hakikatnya inilah keadaan perubatan yang dipanggil “ascites”. Ascites merupakan pengumpulan cecair dibahagian abdomen badan, apabila badan kehilangan keupayaan mengawal keseimbangan tekanan cecair (homeostasis) di dalam salur darah badan.

Secara umumnya, istilah ini lebih dikenali sebagai “edema“. Edema boleh berlaku di mana-mana sahaja. Sekiranya ia berlaku di bahagian kaki, seperti gambar dibawah, ianya dipanggil “pitting edema”.

Manakala jika edema berlaku di muka, khususnya sekeliling mata, ia dipanggil “periorbital edema“. Contohnya gambar dibawah:

Begitu juga, edema yang berlaku di bahagian abdomen badan, ianya dipanggil “Ascites“. Seperti gambar yang saya sertakan di awal post ini. Selain di bahagian tubuh badan, edema juga boleh melibatkan organ-organ dalaman, contohnya seperti cerebral edema (edema di bahagian otak) dan pulmonary edema (edema di paru-paru).

Bagaimana edema ini terjadi, sebenarnya?

Seperti yang saya nyatakan, edema terjadi apabila terdapat gangguan terhadap kawalan kandungan cecair didalam salur badan. Badan manusia merupakan ciptaan Tuhan yang cukup kompleks, antaranya termasuklah bagaimana badan memastikan keseimbangan kandungan cecair.

Didalam saluran darah, terdapat dua jenis tekanan yang memainkan peranan dalam proses homeostasis badan. Tekanan tersebut dinamakan tekanan hidrostatik (hydrostatic pressure) dan tekanan onkotik (oncotic pressure). Secara ringkas, kedua-dua tekanan ini berperanan menentukan arah pergerakan cecair plasma didalam darah, sama ada keluar dari saluran darah ke kawasan intrasel (intracellular space), ataupun dari kawasan intrasel ke dalam saluran darah.

Selain dari itu, ketelapan (permeability) dinding saluran darah juga turut memainkan peranan dalam mengawal tekanan air didalam darah. Keseluruhan faktor-faktor ini memainkan peranan penting yang diformulakan sebagai Persamaan Starling (Starling Equation), dalam menjadi penjelasan bagi fenomena edema ini. Tapi tak perlulah saya cerita mengenainya, maklumlah bila masuk bab-bab matematik hatta saya sendiri pun pening. =p

Apakah punca edema?

Secara umumnya, banyak penyakit boleh menyebabkan terjadinya edema. Saya akan cuba kupas satu persatu secara ringkas.

Pertamanya, antara punca utama terjadinya edema adalah penyakit kegagalan fungsi jantung (heart failure), khususnya bagi bahagian jantung sebelah kanan. Bahagian jantung sebelah kanan terdiri daripada atrium dan ventrikel kanan, yang berfungsi menerima darah dari seluruh badan melalui vena, dan menyalurkannya ke paru-paru untuk dioksigenkan.

Dalam kegagalan fungsi ini, darah akan berkumpul di dalam vena kerana tidak dapat disalurkan ke paru-paru dengan baik. Akibatnya, tekanan hidrostatik darah akan meningkat di dalam salur darah vena, menyebabkan cecair plasma darah mengalir keluar dari dalam salur darah, ke kawasan intrasel.

Ia pertama sekali akan membawa kesan kepada bahagian bawah tubuh badan kerana pengaruh graviti keatas cecair tersebut. Cecair intrasel akan berkumpul di bahagian kaki, menjadikan kaki berubah bentuk menjadi sembab dan besar. Malah jika ditekan pada tulang betis kering, ia akan meninggalkan kesan lekuk. Keadaan ini dikenali sebagai “Pitting Edema“.

Sekiranya ianya dibiarkan, ia akan semakin bertambah kronik dan meningkat ke bahagian atas tubuh badan, mencecah tulang sakrum (tulang ekor punggung). Dalam keadaan yang lebih serius, edema di bahagian perut dan abdomen akan terjadi, dinamakan “ascites”. Sehinggalah ke peringkat akhir sekiranya tiada rawatan diambil, akan akan menjadi “anasarca“, iaitu keseluruhan badan menjadi sembab dan bengkak disebabkan cecair yang berkumpul di seluruh badan.

Selain dari kegagalan fungsi jantung, penyebab lain berlakunya edema adalah penyakit bengkak hati (liver cirrhosis). Dalam kes ini, dua mekanisma berlaku, pertamanya hati gagal menghasilkan hormon-hormon dan bahan kimia yang mengawal proses badan, menyebabkan berlakunya kekacauan dalam proses mengatur keseimbangan cecair badan. Keduanya, hati menerima darah khusus daripada salur darah usus yang membawa nutrien dari makanan untuk ditapis dan diproses, justeru dalam penyakit ini, hati gagal memproses dengan efisien menyebabkan darah berkumpul di salur-salur darah abdomen. Seperti di atas, tekanan hidrostatik akan meningkat, seterusnya berubah menjadi ascites.

Penyebab utama bengkak hati adalah disebabkan pengambilan alkohol. Justeru ingat, jauhi alkohol ya!

Dua penyebab di atas merupakan penyebab utama terjadinya edema. Selain itu, penyebab-penyebab lain termasuklah seperti kegagalan buah pinggang, kegagalan fungsi salur darah vena (vein insufficiency) dan penyakit-penyakit yang mengganggu sistem limfa.

Apakah rawatan bagi edema ini? Secara umumnya, rawatan yang benar-benar berkesan bagi edema adalah dengan merawat penyebab terjadinya edema tersebut terlebih dahulu. Walaubagaimanapun, terdapat langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan edema tersebut. Antaranya seperti dengan menghadkan pengambilan air minuman, serta mengurangkan pengambilan garam. Selain itu, penggunaan ubat-ubatan dari jenis diuretik seperti Thiazide, Furosemide dan Spironolactoce boleh membantu mengurangkan edema, namun haruslah diambil hanya dengan preskripsi doktor.

Boroi?

Ini bukan boroi ya! Walaupun istilah boroi itu secara umumnya bermaksud perut yang besar, namun konotasi boroi itu lebih tepat bermaksud pengumpulan tisu lemak di bahagian abdomen badan. Terdapat tiga jenis lokasi lemak dalam badan manusia, iaitu lemak di kulit (subcutaneous fat), lemak diantara otot (intramuscular fat), dan lemak di dalam badan (visceral fat, juga dikenali sebagai adipose tissue).

(Ini baru boroi!)

Ia biasa berlaku kepada individu yang obese, iaitu mempunyai berat badan berlebihan. Kita boleh mengetahui sama ada kita ini obese atau tidak, dengan mengira jumlah Indeks Jisim Badan (Body Mass Index). Bagi mereka yang obese, lemak akan berkumpul di merata tempat didalam badan, tidak terkecuali di bahagian lemak visceral. Di bahagian abdomen badan, terdapat banyak kawasan lemak visceral, justeru itu ia akan lebih terkesan bagi individu yang obese.

Kenapa lelaki ramai yang boroi? Kerana bagi insan bergelar lelaki, perbezaan hormon menyebabkan lemak lebih banyak disimpan di bahagian abdomen. Bagi wanita pula, hormon wanita (estrogen) menyebabkan lemak lebih tertumpu ke bahagian punggung dan paha. Kerana itulah apabila seseorang wanita telah putus haid (menopaus), lapisan lemak secara perlahan-lahan akan beralih tempat ke bahagian perut pula. Jangan suka-suka gelakkan orang lelaki ya, wahai perempuan sekalian, masa kalian akan tiba jua! =)

Boroi (abdominal obesity) merupakan satu petanda yang berbahaya. Ia menunjukkan bahawa kandungan lemak didalam badan sudah melepasi tahap yang normal, maka ia meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan angin ahmar, berkali-kali ganda. Ia juga meningkatkan risiko penyakit kencing manis, serta 1001 macam lagi jenis penyakit berbahaya.

Ilmu Hitam?

Penulis pertama kali mengetahui mengenai pengaruh ilmu hitam keatas kesihatan, melalui pembacaan dalam majalah-majalah mistik dan misteri tempatan. Maklumlah, umur yang meningkat remaja begitu mudah sekali teruja dek bahan-bahan bacaan sedemikian.

Tidak dinafikan, bahawa hakikatnya sememangnya perkara-perkara berunsurkan ghaib dan kesyaitanan ini boleh mengganggu manusia secara fizikal. Penulis selaku orang yang mengamalkan perubatan, termasuk juga dalam masyarakat moden yang mempercayai sains, pengaruh sihir tetap tidak boleh ditolak tepi dan dipandang enteng.

Namun mungkin kerana sifat sihir dan ilmu hitam itu yang ghaib, menyebabkan kita sering menolak sunnatullah iaitu penjelasan sains yang ada. Apabila kita melihat sesebuah restoran makanan tidak ramai pelanggan, maka kita menganggap restoran itu sudah terkena “buatan orang.” Apabila anak kecil tidak berhenti-henti menangis di tengah malam, kita katakan dia “tersampuk jin”.

Tetapi kita terlupa untuk memikirkan kemungkinan faktor sunnatullah. Mungkin restoran itu tidak ramai pelanggan kerana teknik promosi yang tidak berkesan? Mungkin anak kecil tersebut, telinganya dimasuki serangga yang biasa berkeliaran di waktu malam?

Bidang perubatan, terutamanya, tidak terlepas dari tanggapan sedemikian. Apabila tompok-tompok hitam muncul di badan, pasti ada yang mengatakannya “terkena sihir”. Anak yang menangis dengan suara kucing, dikatakan terkena kenan kucing. Dilahirkan bersisik, dikatakan kenan ular. Tidak kurang juga yang berjumpa pesakit yang perutnya buncit dan besar seperti gambar awal di atas, maka mengatakannya terkena santau.

(Kenan Ular?)

Tanpa menolak kemungkinan unsur-unsur ghaib, tidak ramai yang mengetahui bahawa sebenarnya banyak kejadian-kejadian “mistik” tersebut telah didokumentasi, dikaji dan direkodkan dalam bidang perubatan.

Tompok-tompok hitam yang muncul di badan, contohnya, merupakan simtom yang digelar purpura, petechia atau ecchymoses. Ia boleh disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit darah dan salur darah.

Anak yang menangis dengan suara kucing, merupakan sebuah fenomena perubatan yang dikenali sebagai “Cri du chat Syndrome“, iaitu terjemahan bahasa Perancis yang secara literal bermaksud “tangisan kucing”. Ia merupakan sejenis penyakit genetik, apabila kromosom 5p dalam gene manusia didapati hilang. Begitu juga, anak yang dilahirkan bersisik, ia juga telah dijelaskan dalam bidang perubatan sebagai Harlequin ichthyosis. Ia telah direkodkan sejak tahun 1750 lagi!

Namun tentulah, mungkin kerana masyarakat kita tidak biasa didedahkan dengan pengetahuan perubatan, sebaliknya sering dimomok-momokkan dengan kisah-kisah mistik, menyebabkan kita sering menolak penjelasan sains ke atas perkara-perkara sebegini.

Akibatnya, peranan doktor dan perubatan tidak dipandang penting, sebaliknya individu yang mengalami masalah sebegini sering berkunjung ke “pakar perubatan” seperti bomoh, pawang dan sebagainya. Hanya apabila keadaan berlarutan, barulah datang ke hospital sebagai pilihan terakhir.

Pernah diceritakan kepada penulis, oleh seorang doktor bahawa terdapat pesakit yang datang berjumpa beliau berserta diagnos kanser payudara di peringkat terakhir yang tidak lagi dapat diselamatkan, kerana sebelum itu pesakit berkenaan diyakinkan oleh bomoh bahawa dia terkena buatan orang!

Kerana itulah, penulis menyanjung tinggi usaha penerbit laman web MajalahSains untuk memberikan pendidikan dan maklumat yang berguna kepada orang ramai. Kewujudan laman web sebegini memberi ruang kepada para penulis, khususnya dalam bidang perubatan, menjadi medan untuk memperbetulkan kefahaman masyarakat.

Pun begitu, para doktor dan ahli sains hendaklah tidak terlalu bongkak dengan menafikan pengaruh ghaib ini keseluruhannya. Justeru itulah, setiap pengamal perubatan disarankan untuk mendalami sedikit sebanyak ilmu ruqyah (perubatan cara Rasulullah), serta menerapkan unsur-unsur Islam dalam rawatan yang dilakukan. Mulakan setiap sentuhan dengan Bismillah, serta akhiri setiap konsultasi dengan doa. Jika benar sekalipun unsur ghaib memainkan peranan, sama ada setiap sihir atau ilmu hitam itu memberi kesan atau tidak, tetap dibawah keizinan Allah Yang Maha Kuasa.

Ignorance Is A Blessing

Akhir kata, kembali kepada gambar di awal post ini. Kita dapat lihat, terdapat pelbagai tanggapan boleh kita buat mengenai individu tersebut. Ada yang mengatakannya boroi kerana makan terlalu banyak. Ada yang mengatakannya terkena santau orang. Dan mungkin juga orang berkenaan sedang menderita edema akibat kegagalan fungsi jantung.

Kerana itulah, yang paling penting bagi kita manusia selaku makhluk yang serba tidak tahu ini, adalah untuk mencegah diri kita dari suka bersangka-sangka sedemikian. Letakkan diri kita di tempat pesakit tersebut, sudah tentu kita juga tidak suka diperkatakan sedemikian.

Dalam kedoktoran, sejarahnya dahulu ascites dinamakan “Frog’s Belly“. Boleh difahami kan, kenapa? Namun kini, mana-mana doktor yang menamakan keadaan sedemikian dengan nama tersebut, akan segera dipandang sinis dan ditegur, kerana ianya adalah sangat tidak sopan dan menghina. Para doktor sekarang digesa untuk menulis dengan istilah saintifik, agar tidak ada sebarang hukuman (judgement) dan penghinaan kepada pesakit.

Begitulah juga kita, selaku anggota masyarakat. Elakkan lah dari melontarkan pandangan menghukum, sebaliknya cuba bersikap simpati dan empati kepada pesakit berkenaan. Penulis sering percaya, bahawa dalam hidup kita selaku manusia ini ada sebuah prinsip yang cukup penting, iaitu – “One should treat others as one would like others to treat oneself“!


sumber

5 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. haish kome ni... xnampak ke sumber bwh tu... teman x kupas ape2 pon. nak2 exam ni teman telan je.

    ReplyDelete
  3. cri du chat syndrome aku blaja masa thn 1. fisio - hormon... kat matrik x penah denga lak..

    ReplyDelete
  4. ok plenty of sorry...ade sumber la..wah

    ReplyDelete
  5. salam.. penerangan yang jelas & mudah difahami.. cuma jika saya dapat berkongsi sedikit ilmu tambahan...

    1. terdapat juga jenis "non-pitting edema" yang tidak meninggalkan kesan apabila ditekan, kebiasaannya berlaku pada lengan dan kaki.. berlaku juga disebabkan gangguan sistem limfa seperti yg saudari terangkan sebelum ini, antaranya selepas "lymph node surgery, "mastectomy" @ kongenital..

    2. satu lagi penyebab "non-pitting edema" berlaku di kaki dikenali sebagai "pretebial myxedema" pada sebahagian pesakit "hyperthyroidism". rawatan untuk "non pitting edema" lebih mencabar berbanding "pitting edema" (boleh rujuk website ya)

    3. sebab2 berlakunya edema sudahpun saudari maklumkan di atas.. selain itu, boleh saya kategorikan bukan disebabkan faktor penyakit..

    4. antara sebab2 lain ialah :

    >kurang aktiviti fizikal : kerap berlaku pada mereka yang tidak bersenam lansung @ kurang berjalan

    >berdiri @ duduk terlalu lama

    >selepas pembedahan

    >berada di altitud yg tinggi : disertai dengan aktiviti fizikal boleh menyebabkan pulmonary @ cerebral edema

    >melecur/terbakar : kulit bertindak balas dengan retain cecair & menyebabkan edema

    >pregnancy : badan hasilkan hormon2 agar badan menyimpan lebih banyak cecair. normal wanita yang mengandung bila muka, tangan & kaki membengkak sedikit. wanita mengandung dinasuhatkan tidur mengiring & tidak terlentang kerana uterus akan memberi tekanan kepada IVC dan menyekat kedua2 femoral veins dan boleh menyebabkan edema..

    >pil pencegah kehamilan : kandungan estrogen dalam ubat menyebabkan badan meningkatkan simpanan cecair

    >ubat-ubatan : calcium channel blockers, NSAIDs & diabetic seperti thiazolidinediones

    >pengambilan garam berlebihan dalam makanan

    >kurang nutrisi : vitamin B1, B5 & B6

    harap ilmu ini dapat dimanfaatkan & dikongsi bersama rakan2 yg lain..

    "amalkan gaya hidup yang sihat & sentiasa peka pada kesihatan diri anda"

    ReplyDelete